Sunday, June 12, 2011

Ilmu Mengurus

Mencuba tulisan genre akademik~

Dalam tradisi keilmuan islam, wujud dua bentuk ilmu yang sangat diutamakan dan berjaya menghasilkan kegemilangan tamadun. Iaitu ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Seperti manusia, Allah menciptakannya bersama-sama dengan pancaindera, sekaligus kita mempunyai nafsu, hati dan rasa. Untuk menguruskannya tidaklah mudah, memerlukan kepada ilmu mengurus diri yang unik yang mampu membentuk sikap, tabiat, cara berfikir dan juga tingkah laku. Ilmu mengurus diri sangat mengaitkan kita dengan Allah S.W.T dan kita dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Begitu juga dengan segala rahmat Allah yang melimpah ruah untuk manfaat makhluk. seperti air, tanah,minyak, gas, uranium, emas, berlian dan lain-lain. Semua itu adalah amanah Allah S.W.T. kepada kita, manusia. Oleh itu, manusia memerlukan suatu ilmu untuk menguruskan rahmat Allah ini dengan amanah dan bermanfaat kepada manusia lain. Di sinilah pentingnya ilmu mengurus sistem seperti sains, teknologi, ekonomi, perakaunan, astronomi dan lain-lain. Tanpanya kita akan ketinggalan dari merasai segala rahmat Allah di muka bumi.

HASIL INTEGRASI

Bukti sejarah menunjukkan bagaimana umat islam terdahulu mampu memberi keutamaan kepada ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem dalam membangun tamadun contoh.

Ilmuwan seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizmi umpamanya hafaz al-quran sewaktu umur tujuh dan sepuluh tahun. Kemudian mendalami ilmu tafsir, feqah dan bahasa-bahasa utama dunia. Ilmu mengurus diri dijadikan prasyarat berilmu di kalangan mereka. Selepas itu mereka belajar ilmu logik, falsafah, astrofizik sains, perubatan dan lain-lain untuk memiliki kepakaran dalam ilmu mengurus sistem.


Hal yang sama juga dilakukan oleh Al-Battani, Ibn Haitam, Al-Biruni dan ramai lagi. Ibn Nafis umpamanya, seorang yang pakar dalam bidang lughah dan syariah, juga pada masa yang sama pakar dan tersohor dalam ilmu darah (blood circulation).

Mereka menekuni pada awalnya ilmu mengurus diri supaya mereka mampu menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. Mendalami Al-Quran untuk mendapat sumber petunjuk. Tanpa asas yang kukuh ini mana mungkin manusia dapat mengurus sistem dengan baik kerana pengurusan sistem tentunya memerlukan prinsip yang jelas, pedoman yang terbaik, iman yang kental, amanah yang tinggi dan keadilan yang terlihat samada dalam percakapan atau amalan.


"Hasil Tulisan Ibn Sina dalam Kitab Al-Qanun fi al-Tibb."

Integrasi Ilmu mengurus diri dan sistem terbukti memberikan asas bagaimana perubahan yang sifatnya holistik boleh berjalan dengan baik. Inilah akhirnya yang menghasilkan tamadun besar yang mewujudkan Baitul Hikmah dan Andalusia yang bertahan selama 700 tahun dan menjadi rujukan orang-orang Barat dan Timur.

Terkandung di dalamnya tamdun unggul dari hampir semua bidang ilmu pengetahuan baik ilmu mengurus diri seperti akidah, feqah, syariah, lughah apalagi ilmu bintang, angkasa lepas, perubatan, sains pemikiran, psikologi dan lain-lain yang termasuk dalam kategori ilmu mengurus sistem.

FAKTOR MUNDUR

Hari ini ternyata antara faktor yang menyebabkan umat islam mundur dan tidak mampu lagi menawarkan cara hidupnya sebagai sumber ikutan orang lain adalah berpunca dari wujudnya ilmu yang berpecah dua antara ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem.

Akibatnya umat islam terletak dalam dua orientasi ilmu yang tidak sekata, iaitu pendidikan pondok, pesantren dan madrasah yang menumpukan pengukuhan ilmu mengurus diri dalam skop yang tebatas. Dalam masa yang sama sebahagian umat yang lain terdedah dalam orientasi ilmu mengurus sistem yang tidak menghubngkan ilmu mengurus diri sebagai faktornya.

Dan akhirnya mewujudkan dualisme yang menampilkan konflik antara sekularisme dan agama. Faktor ini berlaku pada hampir semua dunia islam dalam konteks pendidikan khususnya yang pernah dijajah oleh kuasa Barat.

KONKLUSI

Alhamdulillah, lebih setengah abad yang lalu timbul kesedaran umat islam untuk kembali melakukan reformasi supaya faktor integrasi ini menjadi agenda penting. Ini sangat penting supaya lahir sumber tenaga manusia yang menguasai dua bidang ilmu secara integratif supaya corak kemajuan dan pembangunan berjalan atas acuan yang rabbani dan manusiawi.

Olahan Semula dari Artikel:

Prof Dr. Sidek Baba

###########

moga-moga hasil integrasi ini memberi kesan kepada dunia.

Terutama kepada Sek dibawah kelolaan MGB (Majlis Guru Besar) dan sek yang menawarkan integrasi ini.

good luck. Cerahkan masa depan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...